Thursday, 30 January 2014

Rindu pada MANUSIA? Hati-hati, syaitan MENYAPA!

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, cinta tidak melebihi dari sesiapa melainkan Allah, hanya Allah cinta utama. Moga sahabat-sahabat ZAUJATUNZAHRA sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah, 
in syaa allah..

Hari ini merupakan Yaumul Jumu'ah, Yaumul Barakah, Yaumul Ibadah, Yaumul Saiyidul Ayyam wa Yaumul li muslimin wal muslimat. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Pada hari Jumaat, terdapat satu waktu, tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkannya. Carilah ia di akhir waktu selepas asar." (Riwayat Abu Daud). 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tidaklah seseorang muslim itu meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur(soalan di dalam kubur)." -(Riwayat At-Tirmizi)


Perbicaraan pada kali ini bukanlah ingin membahaskan soal hari jumaat. Akan tetapi, ingin menceritakan masyaqqah yang hadir dari setiap insan. Rindu, tajuk pada kali inilah yang akan diolahkan.

Rindu? Antum pernah mengalami masalah rindu? Antum pernah merindui? Antum pernah dirindui sesiapa? Itu semua fitrah. Kerana rindu itu lahir daripada sifat semula jadi seorang insan. Akan tetapi, kita hendaklah memahami apa erti rindu yang hakiki.

Rindu tidaklah salah, juga tidaklah dilarang. Walau bagaimanapun, kita harus sedar dimana ingin meletakkan tahap kerinduan itu. Jika rindu itu boleh melalaikan kita daripada mentaati suruhan Ilahi, adalah lebih baik sekiranya hati ini tidak terusik oleh sesiapa. Simpan hati ini dalam jagaan Allah. Rindukan Allah itu lebih dari segalanya. 

Perempuan dan lelaki ajnabi yang sering merindui antara satu sama lain, adalah sangat berbahaya! Ini kerana, dalam diam-diam, syaitan ingin menyapa hati seseorang itu untuk melakukan maksiat. Jika rindu, maka berdoalah. Hanya dengan doa, mampu melemahkan sapaan dari syaitan. Jika rindu, ingatkan pada diri, jangan sampai melalaikan hati. Jika rindu, ingatkan pada diri, rindu pada Ilahi itu lebih bererti. Jika rindu, mohonlah kepada Ilahi agar didekatkan dengan cara yang halal. Dengan cara bagaimana? Bernikahlah. 

Ada rindu yang menyebabkan situasi itu menjadi maksiat. Apakah itu? Yaitu, membenarkan NAFSU menjadi jalan untuk mendapatkan RINDU. Astaghfirullah, moga kita tidak tergolong dalam golongan yang merindui hanya semata-mata kerana ingin memuaskan nafsu. 

Sebenarnya, rindu akan hadir apabila cinta itu turut ada bersama. Kerana, setiap perkara yang kita cintai, pasti akan merindui. Begitu jugalah kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW. Semakin kita cintakan Baginda SAW, gelojak rindu itu semakin tinggi. Subhanallah. Cinta dan rindu adalah sesuatu yang berkaitan dengan manusia, yang memotivasikan mereka agar sentiasa menjaga dan mendorong kehormatan dan kemuliaannya.

Adapun cinta yang tulus ikhlas dan murni, yang dijaga kehormatannya, maka tidak ada dosa padanya, bahkan telah disebutkan oleh sebahagian ulama' seperti Imam Suyuthi, bahawa orang yang mencintai seseorang, lalu menjaga kehormatan dirinya dan dia menyembunyikan cintanya, maka dia diberi pahala. 

Bersabar dalam memerangi rindu yang berpanjangan, akan mendatangkan jiwa yang tersenyum. Kerana rindu juga adalah termasuk amalan hati, yang manusia tidak mampu menguasainya. Jika kita pandai menjadikan rindu itu ke arah yang halal, maka halallah jadinya.  Seperti mana Imam Hasan Al Banna pernah mengatakan,

"Cinta secara halal itu halal. Cinta secara yang haram itu haram. Adapun cinta secara syubhah, itu syubhah."  

Adakah kita mahu merindui kepada seseorang yang tidak pasti? Yaitu timbul rasa syubhah yang berpanjangan. Bukan tidak boleh untuk saling merindui, tetapi biarlah berpada-pada. Jika rindu itu boleh menyebabkan hati masih mengingati Allah, tidaklah menjadi masalah. Walau apapun kita juga haruslah sentiasa ingat, tiada yang paling sempurna imannya sehinggalah dia mencintai Allah dan RasulNya, tiada yang paling sempurna kesabarannya, melainkan Rasulullah SAW. ZAUJATUNZAHRA mendoakan agar kita terpelihara daripada perkara yang menyebabkan Allah murka. Amin. 

Rindu? Biarlah Allah sahaja yang tahu. :')








No comments:

Post a Comment

Pages

YouTube Blog

Nukilan dari insan yang jahil